Ahad, 7 Mei 2017 | 7:10pm

Polis cari dua suspek curi motosikal

DUA lelaki curi motosikal dicari polis. Lokasi Pusat Perniagaan Perindustrian Kinrara.- Foto ihsan PDRM
DUA lelaki curi motosikal dicari polis. Lokasi Pusat Perniagaan Perindustrian Kinrara.- Foto ihsan PDRM

SERDANG: Polis Daerah Serdang sedang mengesan dua lelaki yang melarikan sebuah motosikal di kawasan Pusat Perniagaan Perindustrian Kinrara, dekat sini, semalam.

Pemilik motosikal itu, pekerja sebuah kedai serbaneka berusia 21 tahun dikatakan meletakkan motosikal jenis Yamaha LC di hadapan sebuah pusat snuker kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan berkunci sebelum mendapati ia hilang dua jam kemudian, disyaki dicuri.

Perbuatan kedua-dua suspek itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan menjadi viral di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh dilihat menunggang sebuah motosikal dan berlegar-legar di kawasan tempat letak motosikal sebelum melarikan motosikal mangsa.

Pembonceng kemudian turun dari motosikal berkenaan dan meninjau keadaan sekeliling, disusuli rakannya tidak lama selepas itu dan terus menuju ke salah sebuah motosikal yang di parkir di situ sebelum melarikannya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata polis sudah merakam percakapan mangsa dan meneliti CCTV di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian tidak jelas menyebabkan mereka sukar dikenal pasti.

"Kita masih dalam usaha mengesan suspek dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis atau ke balai terdekat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Berita Harian X