Ahad, 7 Mei 2017 | 2:13pm

Lelaki bunuh bekas tunang dihukum mati

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pekerja kedai tayar selepas didapati bersalah membunuh bekas tunangnya yang juga pekerja sebuah pasar raya di Kluang, pada April 2015.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin ke atas Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin, 27, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, berdasarkan Seksyen 18 Kanun Tatacara Jenayah sudah menimbangkan semua keterangan orang kena tuduh (OKT), saksi pembelaan dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.

"Saya juga sudah meneliti hujahan dan nas yang dirujuk. Laporan psikiatri dari Hospital Permai menyatakan mental OKT adalah stabil dan layak dibicarakan dan diberikan pengakuan.

"OKT mengaku menikam si mati, tiada keraguan menyebabkan kecederaan ke atas si mati. Saksi menyatakan kematian si mati adalah akibat kecederaan yang dialaminya.

"Sudah dibuktikan bahawa OKT mempunyai niat untuk membunuh si mati iaitu niat menyebabkan kecederaan si mati dan kecederaan itu terangkum mengikut Seksyen 300 (C) Kanun Keseksaan dan tiada keraguan munasabah dari pihak pendakwaan. Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan jenayah itu hingga menyebabkan kematian Nursyafikah Ahmad Ismail, 22, di kawasan letak motosikal Pasaraya Econsave, Kluang, kira-kira jam 5.40 hingga 5.45 petang, pada 10 April 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali.

Berita Harian X