Selasa, 2 Mei 2017 | 2:36pm

Pengasuh mengamuk di perkarangan mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh menjerit dan meronta-ronta di perkarangan Mahkamah Ampang, hari ini kerana berang selepas beberapa wartawan cuba merakam gambarnya yang didenda RM8,000 atas tuduhan mendera anak angkat, tiga tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kakitangan mahkamah termasuk polis menenangkan tertuduh, Nor Asih Mohames Ali, 49, dengan membawanya keluar mengikut pintu belakang.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Asiah selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah.

Azrul turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas seorang kanak-kanak berusia 5 tahun 11 bulan, ketika kejadian didakwa mendera kanak-kanak itu di Tadika An-Nur, No 1, Jalan Bukit Indah 2/17, Taman Bukit Indah, di sini dari 2015 sehingga 8 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan tertuduh tidak sepatutnya melakukan perbuatan (mendera) itu terhadap kanak-kanak walaupun ditimpa masalah.

Peguam Samry Masri dalam rayuan memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda saja ke atas anak guamnya.

"Antara faktor yang perlu diambil kira mahkamah termasuk tahap kesihatan tertuduh. Mengikut laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta, anak guam saya menghidapi "major depressive order" sejak tahun 2014.

"Tekanan itu berpunca selepas suami tertuduh mempunyai keluarga lain. Selain itu anak tertuduh pula jarang berada di rumah," katanya.

Berita Harian X