Selasa, 2 Mei 2017 | 12:50am

Penunggang motosikal maut dirempuh MPV

SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh MPV di Jalan Ipoh-Cameron Highlands petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca.
SEORANG penunggang motosikal maut dirempuh MPV di Jalan Ipoh-Cameron Highlands petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca.

IPOH : Seorang penunggang motosikal maut akibat terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 21, di Jalan Ipoh-Cameron Highlands berhampiran Pos Slim di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, M S Yusri Saidin, 47, beralamat di Matang Gerdu, Bagan Serai yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z maut di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai.

Katanya, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebaik tiba di satu selekoh di lokasi kejadian dan terjatuh di laluan bertentangan.

"Sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang datang dari laluan bertentangan iaitu dari Simpang Pulai menghala ke Cameron Highland tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Abdul Rani berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala dua lelaki yang menaiki Toyota Alphard berusia 30 dan 36 tahun tidak cedera.

"Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X