Sabtu, 29 April 2017 | 8:45pm

Guna cara tradisional buang baki bebola peluru

BAKAR Saad menunjukkan bahagian peti sejuk yang terkena peluru penabur di rumahnya di Kampung Lubok Keriang, Mukim Lesong, Langgar yang mengakibatkan anak kedua dari empat beradik itu cedera dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.-Foto BERNAMA
BAKAR Saad menunjukkan bahagian peti sejuk yang terkena peluru penabur di rumahnya di Kampung Lubok Keriang, Mukim Lesong, Langgar yang mengakibatkan anak kedua dari empat beradik itu cedera dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.-Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Keluarga kanak-kanak perempuan yang cedera terkena peluru sesat, di sini, berhasrat menggunakan perubatan tradisional bagi mengeluarkan baki lima bebola peluru daripada badan mangsa.

Bapa mangsa, Bakar Saad, 45, ketika dihubungi berkata, beliau sekeluarga ada berjumpa pengamal perubatan tradisional dan berbincang untuk mengeluarkan bebola peluru dalam badan Nur Syahida, 12.

Difahamkan, Nur Syahida telah pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan paru-paru, baru-baru ini dan keadaannya beransur pulih.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang 23 April lalu, Nur Syahida cedera terkena 13 bebola peluru penabur pemburu burung ayam-ayam yang tersasar ketika mangsa sedang makan di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Keriang, dekat Langgar, di sini.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dua daripada 13 bebola peluru penabur itu dikeluarkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu, manakala enam lagi dikeluarkan melalui pembedahan pada 25 April lalu.

Pakar pembedahan plastik, pakar bedah am serta pakar ortopedik, yang menjalankan pembedahan lebih lima jam itu sepakat tidak mengeluarkan baki lima bebola peluru lagi kerana khuatir ia akan lebih merosakkan tisu badan mangsa.

Berita Harian X