Isnin, 24 April 2017 | 11:55am

Budak cedera kena peluru penabur

SENAPANG patah digunakan untuk menembak burung tetapi tersasar sehingga mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Langgar, semalam. - Foto ihsan Polis
SENAPANG patah digunakan untuk menembak burung tetapi tersasar sehingga mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Langgar, semalam. - Foto ihsan Polis

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terkena tembakan peluru penabur dilepaskan jirannya ketika menembak burung di Kampung Lubuk Keriang, dekat Langgar, di sini, petang semalam.

Mangsa, Nur Syahida Bakar, yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang cedera terkena 13 peluru penabur di beberapa anggota badan, namun mangsa yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, disahkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata ketika kejadian, mangsa sedang makan di rumah yang terletak di kawasan tengah sawah, bersama ahli keluarga kira-kira jam 6.30 petang.

"Berdasarkan laporan bapa mangsa, 45, ketika sedang makan secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan di dapur rumah dan sejurus diperiksa terdapat banyak kesan peluru bertabur di peti ais rumah yang turut mengenai muka serta badan anak perempuannya.

KESAN tembakan peluru penabur pada peti ais. - Foto ihsan Polis
KESAN tembakan peluru penabur pada peti ais. - Foto ihsan Polis

"Tidak lama kemudian dua lelaki yang tinggal berhampiran datang bersama sepucuk senapang meminta maaf kerana tersalah sasaran ketika menembak burung.

"Bapa mangsa kemudian tampil membuat laporan selepas tidak berpuas hati dengan tindakan itu yang membahayakan nyawa," katanya.

Mohd Rozi berkata, selain empat kesan peluru pada dada, mangsa juga cedera di betis kanan, bahu kanan dan kepala.

"Sejurus menerima maklumat, pihak polis merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu bersama lesennya, namun soal siasat dilakukan mendapati pemiliknya, 74, tidak tahu senjata terbabit diambil dan digunakan anaknya, 52, bersama seorang rakan yang berusia 46 tahun.

"Kita juga menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes melepaskan tembakan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.

Berita Harian X