Rabu, 12 April 2017 | 7:19pm

Geng Panjang pinjam kereta kakak buat menyamun

 KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (tengah) menunjukkan senjata yang digunakan dalam kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (tengah) menunjukkan senjata yang digunakan dalam kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes samun di kedai serbaneka sekitar Shah Alam membabitkan kerugian RM15,000 dengan penahanan tiga suspek di Plaza Sri Muda Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata tiga suspek berusia 20 hingga 27 tahun yang dikenali sebagai Geng Panjang itu dipercayai aktif sejak Januari lalu.

Katanya suspek yang berusia 27 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk kes dadah dan pecah rumah manakala dua lagi suspek tiada rekod jenayah.

"Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek berusia 31 tahun. Suspek disyaki memandu Proton Saga warna putih dipercayai milik kakak kepada seorang suspek, ketika melakukan kegiatan itu," katanya pada sidang media selepas Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Shafien berkata, suspek juga dipercayai terbabit menyamun dua kedai serbaneka di Seksyen 30 dan Seksyen 11, di sini, antara jam 3.30 pagi hingga 6 pagi pada hari sama sebelum mereka ditahan.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan turut memaparkan dengan jelas visual suspek ketika kejadian.

"Tiga suspek itu dilihat memasuki kedai serbaneka terbabit dan mengacukan parang dan pisau ke arah pekerja kedai. Mereka kemudian merampas wang tunai dan rokok bernilai RM2,600 di kedua-dua kedai berkenaan sebelum ditangkap pada malam sama.

Beliau berkata, suspek ditahan reman hingga 15 April bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392 / 397 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Shafien berkata, polis sedang mengesan seorang remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar dari kediamannya di Seksyen 32, di sini, sejak 24 Februari lalu.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, Muhammad Adam Faiz Abdul Hafiz, 16, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, dipercayai tidak hadir ke sekolah sejak kehilangannya.

Katanya, remaja itu keluar dari kediaman keluarga kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian, tanpa disedari adiknya yang turut berada di rumah ketika itu.

"Kami percaya remaja berkenaan masih berada di daerah ini dan tidak lari jauh kerana hanya berselisih faham dengan ayahnya," katanya.

Beliau berkata, remaja berkenaan juga tidak membawa telefon bimbit dan sehingga kini tidak berhubung dengan keluarganya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja berkenaan boleh menghubungi pihak polis di talian 03-55202222 atau Sarjan Azhari Razali menerusi talian 017-2407594.

Berita Harian X