Sabtu, 8 April 2017 | 6:46pm

Jari tercucuk jarum mesin jahit

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak perempuan yang tercucuk jarum mesin jahit di Plaza Keranji, Kampar. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak perempuan yang tercucuk jarum mesin jahit di Plaza Keranji, Kampar. - Foto ihsan Bomba

KAMPAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih 15 minit selepas salah satu daripada jari tangan kirinya tercucuk jarum pada mesin jahit di sebuah kedai menjahit baju di Plaza Keranji, Jalan Pasar di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mokhtar Sudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada ibu mangsa pada jam 3.59 petang.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati tangan kiri kanak-kanak itu tersekat di mesin jahit berkenaan akibat jari hantu tercucuk jarum di mesin berkenaan.

"Kami mendapati kanak-kanak itu menangis kesakitan dan kami perlahan-lahan mengeluarkan jarum daripada mesin berkenaan dengan menggunakan pemutar skru.

"Anggota bomba kemudian menghubungi pasukan paramedik bagi membolehkan jarum berkenaan dikeluarkan daripada jari kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kampar dengan menaiki ambulans dan operasi tamat pada jam 4.16 petang.

Berita Harian X