Jumaat, 31 March 2017 | 4:09pm

Lelaki ditembak mati ada 10 rekod jenayah

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din (tengah) menunjukkan senjata api jenis Colt .45 bersama empat butir peluru hidup yang digunakan suspek yang ditembak mati ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Gayang, di Tuaran, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Sri Gayang, Tuaran, malam tadi, memiliki 10 rekod jenayah termasuk disyaki dalang kes samun membabitkan kerugian lebih setengah juta ringgit di Keningau, 17 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata suspek warga tempatan berusia 37 tahun itu terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan sejak beberapa tahun lalu serta pernah ditahan pada tahun 2015.

Beliau berkata, suspek yang dipercayai dalang satu kumpulan pecah rumah bersama tiga lagi individu yang masih bebas, diburu berikutan kes pecah rumah milik seorang ahli perniagaan di Keningau itu.

"Pada 17 Mac lalu, jam 10.30 pagi, empat lelaki warga tempatan menyamun seorang pembantu rumah di sebuah rumah di Keningau. Suspek menyamun wang tunai dan barang kemas bernilai RM590,000.

"Lanjutan itu, polis menubuhkan pasukan khas memburu suspek dan kami membuat beberapa tangkapan untuk membantu siasatan sebelum mendapat maklumat mengenai seorang suspek di Taman Sri Gayang, Tuaran, semalam.

"Sepasukan lima pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di lokasi terbabit sebelum ditembak dari dalam sebuah rumah dan memaksa polis membalas tembakan menyebabkan suspek yang tinggal sendirian di kediaman itu rebah," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Ramli berkata, siasatan di rumah terbabit menemui senjata api jenis Colt .45 bersama empat butir peluru, dadah jenis syabu seberat 3.7 kilogram bernilai kira-kira RM300,000, peralatan pecah rumah dan membungkus dadah.

Katanya, polis turut menemui sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan suspek dalam kes samun di Keningau itu, dua bilah parang, sebilah pisau rambo dan kapak.

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din menunjukkan foto dua lelaki yang disyaki boleh membantu siasatan berhubung kes samun di sebuah rumah di Keningau, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Berita Harian X