Jumaat, 24 March 2017 | 3:46pm

Pengasuh didakwa sebabkan kematian

PETALING JAYA: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya, minggu lalu.

Gloria Erren Liwie, 23, yang berasal dari Sarawak, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Gloria didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak itu di Blok A, Apartmen Impian Baiduri, antara jam 1 tengah hari dan 4 petang, pada 14 Mac lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang juga ibu kepada seorang anak itu dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X