Selasa, 21 March 2017 | 1:51pm

Datuk Seri, 11 lelaki dituduh merusuh

ANTARA 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan merusuh di sebuah pusat hiburan, pada Sabtu lalu. - Foto Mikail Ong
ANTARA 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan merusuh di sebuah pusat hiburan, pada Sabtu lalu. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Seorang Datuk Seri bersama 11 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan merusuh di sebuah pusat hiburan, pada Sabtu lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu sejurus tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid.

Semua tertuduh dan beberapa individu yang masih bebas dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik E3 Pusat Hiburan Suncity KTV Mindland di Jalan Burma di sini, pada jam 3.58 pagi, 18 Mac lalu.

Tertuduh, Datuk Seri Loh Peng Kok, 35; Tan Ban Chuan, 46; Ng Hao Ning, 29; Muhamad Naim Abdull Rahman, 18; J Shatheeswaran, 24; N Kartiga, 26; Curtis Veeran, 19; Tan Teong Boon, 24; Teoh Chee Seng, 36; Siow Peir Sheng, 24; Teoh Kim Teik, 20 dan Tan Kai Chong, 21.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul  Fatin Hussin memohon mahkamah tidak menawarkan ikat jamin ke atas semua tertuduh sehingga kes selesai dibicarakan, selari dengan Seksyen 147, Kanun Keseksaan.

Seksyen 147 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam bagi semua tertuduh, RSN Rayer merayu mahkamah membenarkan mereka diikat jamin berikutan mereka masih mempunyai keluarga, selain tuduhan adalah lebih ringan berbanding Seksyen 148 kanun sama.

Mohamed Amin membenarkan permohonan Rayer dan memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 5 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X