Isnin, 20 March 2017 | 3:41pm

3 ditahan bantu siasatan kes bunuh

KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif. - Foto fail NSTP
KETUA Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah rumah kedai di Jalan Genting Klang, Setapak dekat sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu membabitkan mangsa wanita warga Myanmar berusia 26 tahun yang ditemui mati di atas katil di sebuah bilik di tingkat satu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek yang ditahan masing-masing adalah warga Myanmar, Vietnam dan Indonesia berusia antara 25 hingga 28 tahun.

"Siasatan awal mendapati mangsa baru dua bulan tinggal di bilik berkenaan bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai pelayan restoran di bawah rumah kedai terbabit.

"Ketika kejadian, teman lelaki mangsa dikatakan naik ke bilik sebelum mendapati teman wanitanya terbaring berlumuran darah.

"Dia kemudian bergegas turun dan memaklumkan kejadian kepada majikannya sebelum kes dilaporkan kepada polis," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pihak polis turut menemui sebilah pisau di lokasi kejadian, dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek susulan penemuan percikan darah pada dinding bilik berkenaan.

"Lima tikaman dikesan di badan mangsa manakala pergelangan tangan kanannya turut dikelar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Berita Harian X