Khamis, 16 March 2017 | 8:52pm

Bapa maut, anak parah kereta bertembung lori

ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta dinaiki dua beranak bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Batu 24 Jalan Apas, Tawau, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta dinaiki dua beranak bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Batu 24 Jalan Apas, Tawau, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

TAWAU: Seorang lelaki maut apabila kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Batu 24 Jalan Apas, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Kampung Balung Cocos, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, Abdul Mansur Abu Kassim, 59, penumpang bahagian hadapan kereta Honda City terbabit maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam remukan kenderaan itu.

Anak mangsa, Achmad Shanawie, 27, yang memandu kereta itu pula cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata ketika kejadian kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tiga tan itu.

Berikutan pertembungan itu, katanya, kereta dinaiki dua beranak itu remuk, manakala lori berkenaan berpusing dan terbalik di sebelah kiri jalan.

"Pemandu lori bersama kelindan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Faizal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.57 petang sebelum menghantar sepasukan anggota yang tiba di lokasi pada jam 3.33 petang.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X