Selasa, 7 March 2017 | 2:57pm

Peniaga dodol dituduh perdagang amah Indonesia

AYER KEROH: Seorang pemilik sebuah syarikat perusahaan dodol di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia di Taman Semabok, awal Februari lalu.

Siah Siu Eng, 64, mengangguk faham dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norma Ismail.

Tertuduh didakwa memperdagangkan pembantu rumah wanita warga Indonesia, Anita Dendo, berusia belasan tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa di Taman Semabok, kira-kira jam 5 petang, pada 11 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Iffa Sirrhu Samsudin menawarkan jaminan RM40,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes dan M Pusppa merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menghidap masalah jantung dan mempunyai empat anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 dan 7 April depan untuk tarikh rakaman keterangan mangsa.

Berita Harian X