Rabu, 1 March 2017 | 12:31pm

Maut dirempuh ketika melintas

YUSOF (gambar kecil) disahkan maut di tempat kejadian selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Jalan Coastal, berhampiran sebuah kompleks beli-belah di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto PDRM
YUSOF (gambar kecil) disahkan maut di tempat kejadian selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Jalan Coastal, berhampiran sebuah kompleks beli-belah di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang warga tua maut selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Jalan Coastal, berhampiran sebuah kompleks beli-belah di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Yusof @ Mohd Yussof Baladan, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di badan dan kepala.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan melintas jalan dari Centerpoint manakala kenderaan jenis Toyota Prado terbabit menuju ke arah Wisma Merdeka dari arah KK Times Square.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata mangsa dikatakan berlari secara tiba-tiba ketika melintas sebelum dirempuh kereta yang dipandu lelaki berusia 75 tahun di lorong kiri.

"Mangsa cedera parah akibat rempuhan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, siasatan mendapati pemandu Toyota Prado terbabit cuba membrek namun tidak sempat mengelak mangsa berikutan jarak terlalu dekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X