Ahad, 26 Februari 2017 | 2:10pm

Seorang maut, 12 cedera van langgar tiang elektrik

KEADAAN van yang dinaiki 13 ahli keluarga terbalik setelah melanggar tiang elektrik sebelum terbabas masuk ke dalam tali air di Batu 10 Kota Sarang Semut menyebabkan seorang meninggal dunia dan 12 mengalami kecederaan. - Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN van yang dinaiki 13 ahli keluarga terbalik setelah melanggar tiang elektrik sebelum terbabas masuk ke dalam tali air di Batu 10 Kota Sarang Semut menyebabkan seorang meninggal dunia dan 12 mengalami kecederaan. - Foto Ihsan Pembaca

ALOR SETAR: Seorang maut manakala 12 lagi cedera apabila van yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Batu 10, Jalan Alor Setar-Sungai Petani dekat sini awal pagi tadi.

Yang meninggal ialah pemandu van tersebut Shafie Wahab, 54, dari Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, berkata kejadian jam 3 pagi ketika semua mangsa dari Johor dalam perjalanan dari Alor Setar menuju Pendang.

"Siasatan awal mendapati van dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang elektrik dan terjunam ke tali air.

"Pemandunya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan disahkan meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan," katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Rozi berkata, mangsa yang cedera termasuk empat orang anak Shafie iaitu Mohamad Shahzuan, 17, Nur Suhana, 14, Mohamad Shahril, 13, dan Nur Suhaila, 6.

"Seorang mangsa iaitu Nor Khusaini Mad, 30, dirawat di zon kuning manakala mangsa lain yang mengalami cedera ringan ialah Suriati Faidi, 38, Mohamad Shaharuddin Abd Malek, 23, dan Nur Aisyah Fathiha Mohamad Taufik, 4.

Turut cedera ringan Abdul Shukor Ahamad, 49, dan isteri Zainab Kasim, 47, serta anak mereka Habsah, 27, dan Siti Haisah, 23.

Katanya, kes kemalangan itu sedang disiasat dan polis nasihat supaya orang ramai mengelak membawa penumpang berlebihan dalam sesebuah kenderaan. - BERNAMA

Berita Harian X