Jumaat, 24 Februari 2017 | 10:56am

Bas rempuh treler, 5 parah

KUALA KANGSAR: Lima penumpang parah manakala 14 lagi cedera, selepas bas ekspres membawa 19 penumpang merempuh treler membawa muatan getah skrap di kilometer 257.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora awal dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, bas berkenaan dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh treler berkenaan yang berada di depannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairil Anuar Shaharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, lima penumpang bas patah kaki dan pinggang terseliuh, manakala 14 yang lain hanya cedera ringan.

"Pemandu bas dan pembantunya serta pemandu lori  tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semua penumpang yang cedera dibawa ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun ) di Ipoh untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi.

KEADAAN bas yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di KM 257.7 Lebuhraya PLUS dekat terowong Menora awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN bas yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di KM 257.7 Lebuhraya PLUS dekat terowong Menora awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X