Selasa, 21 Februari 2017 | 1:38pm

Polis cari wartawan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wartawan wanita dari Korea Utara, bagi mendapatkan maklumat mengenai tindakannya berlegar-legar berhampiran Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), awal pagi tadi. 

Terdahulu, polis sudah menahan seorang wartawan lelaki, yang mewakili Korea Broadcasting System (KBS), sekitar jam 1.40 pagi, selepas dilaporkan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran IPFN. 

Sukri Kaman
Sukri Kaman

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata pihaknya menerima laporan dari pihak keselamatan HKL berhubung tindakan kedua-dua wartawan terbabit pada jam 9.56 malam semalam. 

"Hasil daripada maklumat berkenaan, pihak polis merakam percakapan wartawan lelaki terbabit yang didapati mempunyai pas media yang sah dan selepas selesai lelaki itu kemudian dibenarkan pulang. 

"Dengan mengambil kira faktor keselamatan dan situasi semasa, pihak polis mempertingkatkan kawalan keselamatan dan mengatur gerak Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) untuk berkawal di kawasan persekitaran IPFN," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X