Isnin, 20 Februari 2017 | 10:38am

Kes Jong-nam: Wakil media masih berkumpul di HKL

Pengamal media seawal pagi sudah menunggu di hadapan Wisma Putra di Putrajaya, difahamkan Wisma Putra telah memanggil Duta Korea Utara berkaitan kes kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pengamal media seawal pagi sudah menunggu di hadapan Wisma Putra di Putrajaya, difahamkan Wisma Putra telah memanggil Duta Korea Utara berkaitan kes kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Selepas seminggu kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, media tempatan dan luar negara masih lagi berkumpul di depan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Setakat 10 pagi ini, kira-kira 30 wartawan dan jurugambar mula berkumpul selain beberapa wakil media yang bermalam di depan IPFN bagi mendapatkan perkembangan terkini kes berkenaan.

Bagaimanapun, media hanya dibenarkan berada di depan IPFN dan kawasan berkenaan dikawal rapi oleh pihak polis dan pengawal keselamatan.

IPFN menjadi tumpuan berikutan proses bedah siasat Kim Jong-nam dijalankan di institut itu dan sehingga kini mayatnya belum dituntut ahli keluarganya.

Dilaporkan sebelum ini, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menyerkup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Dia yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Februari, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ. - BERNAMA

Berita Harian X