Jumaat, 17 Februari 2017 | 12:11pm

Didakwa culik pengarah urusan

 ANGGOTA polis Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) membawa dua lelaki yang didakwa terbabit dalam kes culik seorang ahli peniagaan bergelar Datuk di tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique dua tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
ANGGOTA polis Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) membawa dua lelaki yang didakwa terbabit dalam kes culik seorang ahli peniagaan bergelar Datuk di tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique dua tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik seorang pengarah urusan bergelar Datuk di tempat meletak kenderaan Hotel Seri Manja Boutique, Indera Mahkota di sini, pada 26 Disember 2015.

Lim Sun Chye, 45, dari Kemaman, Terengganu dan Ang Boon Leong, 40, dari Kepong, Kuala Lumpur dituduh di Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan menahan Datuk Chin Yoke Choon, 53, bagi mendapat wang tebusan berjumlah RM19 juta dengan melarikan serta mengurungnya secara salah bersama tiga individu lain yang masih bebas.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, Sun Chye mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng William pada Julai 2015 sehingga Februari lalu.

Pertuduhan dibaca di hadapan hakim Unaizah Mohd dibuat mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Boon Leong dihadapkan di Mahkamah Sesyen 4 di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali bagi pertuduhan sama, iaitu bergaul dengan Geng William tanpa sebab pada Mei 2015 sehingga Februari lalu.

Siti Aminah menetapkan 28 Februari ini bagi membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi selepas Boon Leong mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Siti Aminah dan Unaizah bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin kerana penahanan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan menetapkan 28 Februari bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Shahrul Ekhsan Hassim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X