Jumaat, 10 Februari 2017 | 4:11pm

Suspek langgar lari koperal polis ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan seorang suspek dalam kes langgar lari yang menyebabkan seorang anggota polis cedera parah di Persiaran Sultan, di sini, kelmarin.

Shafien Mamat. - Foto Faiz Anuar
Shafien Mamat. - Foto Faiz Anuar

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun yang memandu pikap jenis Mitsubishi Triton, melanggar bahagian belakang motosikal pada jam 7.40 malam sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan terjatuh.

Katanya, kejadian itu menyebabkan Koperal R Hirudhayadhas, 56, cedera parah di kaki, rusuk dan kepala serta dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klang. Pada mulanya polis hanya menerima maklumat mengenai jenis dan warna kenderaan sahaja. Malah, suspek masih gagal membuat laporan polis selepas hampir 24 jam kemalangan berlaku.

"Berikutan itu, polis menggunakan semua sumber yang ada dan berjaya mengesan kenderaan suspek di Puchong, Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, hari ini.

Shafien berkata, semakan mendapati suspek memiliki lapan tunggakan saman lalu lintas dan empat rekod jenayah membabitkan jenayah kekerasan.

"Polis juga mendapati kenderaan suspek gagal mematuhi peraturan ditetapkan iaitu berkaitan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 43 (1) APJ," katanya.

Berita Harian X