KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berhubung dua kenyataan yang mendakwa Mukhriz dijanjikan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tunku Abdul Aziz didakwa Mukhriz mengeluarkan kenyataan itu pada 30 Disember tahun lalu bertajuk "Memang wujud pakatan sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang-Tunku Aziz' yang mengandungi kenyataan fitnah dan diterbitkan secara meluas di pelbagai saluran media, portal berita dan blog.
Mukhriz, selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melalui Tetuan Haniff Khatri, dengan menamakan Tunku Abdul Aziz sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mukhriz berkata, beliau sudah memberikan notis kepada Tunku Abdul Aziz melalui kenyataan media yang menuntutnya (defendan) membuktikan kenyataan beliau (kenyataan yang didakwa memfitnah).
Mukhriz berkata, jika defendan gagal berbuat demikian, beliau menyatakan akan mengemukakan tindakan undang-undang.
Mukhriz berkata, berikutan penyiaran notis itu, Tunku Abdul Aziz menerbitkan satu lagi kenyataan pada 3 Januari lalu bertajuk 'Tunku Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah' yang diterbitkan di laman portal Malaysia Outlook.
Beliau berkata, dua kenyataan itu bermaksud bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkomplot secara rahsia tanpa pengetahuan pemimpin dan ahli parti pembangkang lain supaya beliau (Mukhriz) dilantik sebagai perdana menteri manakala Kit Siang sebagai timbalan Perdana Menteri sekiranya memenangi PRU nanti.
Kata Mukhriz lagi, kenyataan itu bermaksud dirinya terbabit secara langsung dalam komplot itu dan memberi gambaran bahawa beliau membelakangkan pengundi dan rakyat Malaysia, tidak telus dan tidak jujur dalam kerjaya politik serta gila kuasa.
Sehubungan itu Mukhriz menuntut daripada Tunku Abdul Aziz antaranya ganti rugi am, teladan, faedah dan kos serta relif lain termasuk menuntut defendan nmenarik balik kandungan kesemua kenyataan fitnah itu.