Isnin, 6 Februari 2017 | 2:47pm

Sindiket peralat kanak-kanak tumpas

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang menjadikan sekumpulan kanak-kanak sebagai peminta sedekah dan menjual bunga di sekitar pusat hiburan dekat sini, Sabtu lalu.

Suspek seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar ditahan sekitar jam 8.15 pagi hingga 11 malam, selepas menyerbu lima premis hiburan di sekitar Ampang, hasil risikan sejak 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata dalam serbuan itu juga polis berjaya menyelamatkan 21 individu termasuk 14 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, semua mangsa terdiri daripada 13 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 16 tahun, lapan orang dewasa berusia 18 hingga 45 tahun serta seorang bayi lelaki berusia dua bulan.

"Suspek akan mengambil kanak-kanak berkenaan pada kira-kira jam 9 malam dan memaksa mereka menjual bunga di beberapa premis sekitar Jalan Changkat, Jalan Alor dan Jalan Bukit Bintang.

"Berdasarkan siasatan, mereka dipaksa menjual bunga-bunga berkenaan sehingga jam 6 pagi dengan harga RM10," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sukri berkata, hasil siasatan pihaknya turut merampas sebuah teksi jenis Proton Iswara, wang tunai, telefon bimbit dan beberapa kuntum bunga yang digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan itu.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Berita Harian X