Ahad, 5 Februari 2017 | 12:54pm

Rampas lebih 1,000 jersi JDT tiruan

TIMBALAN Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Rizq Fazliana Abd Hamid (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan jersi JDT tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Seroja pada sidang media di Stor KPDNKK Kempas, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
TIMBALAN Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Rizq Fazliana Abd Hamid (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan jersi JDT tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Seroja pada sidang media di Stor KPDNKK Kempas, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas lebih 1,000 jersi pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis dekat Taman Seroja di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Rizq Fazliana Abd Hamid, berkata turut dirampas satu unit mesin tekanan (bagi menampal logo) dan 735 jersi pelbagai jenama membabitkan nilai berjumlah RM31,830, menjadikan ia rampasan terbesar pernah dibuat.

Katanya, serbuan dilakukan pada jam 6.30 petang di premis berkenaan hasil pemantauan dan risikan selama seminggu pihak KPDNKK Johor dan pengadu bagi jenama barangan itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu ada menjual barangan iaitu jersi yang menggunakan logo JDT dan sebanyak 1,187 jersi JDT, 735 jersi pelbagai jenama Adidas dan Nike disyaki tiruan dirampas.

"Semua barangan itu disita mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca bekalan barangan berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rizq Fazliana berkata, pihaknya juga sudah menyiasat dan merakam percakapan pemilik premis berkenaan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

"Kami percaya barangan berkenaan adalah untuk diedarkan dalam pasaran di dalam dan luar Johor dengan harga RM45 sehelai, berbanding RM139 bagi jersi JDT yang asli.

"Bagi kesalahan itu, denda yang dikenakan adalah RM10,000 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan dan bagi kesalahan kedua, denda RM20,000 bagi setiap perihal barangan dipamerkan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X