Jumaat, 3 Februari 2017 | 3:47pm

Dipenjara, denda kerana buat laporan palsu

AYER KEROH: Seorang penyembelih ayam dan mekanik masing-masing dipenjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu, November dan Disember tahun lalu.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Razali Omar, 27, dan Azri Sim, 33, dalam prosiding berasingan sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Tertuduh juga diperintahkan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Razali didakwa sengaja membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian samun di Balai Polis Batu Berendam, jam 11.30 pagi, 16 Disember lalu.

Azri pula didakwa membuat laporan polis palsu di Balai Polis Malim, jam 11.55 malam, 18 November lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Razali yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan sudah menggunakan wang majikan bagi membayar hutang along.

Azri yang diwakili peguam Mohd Fadil Mohd Yusof pula merayu hukuman diringankan dengan alasan berpendapatan RM1,200 sebulan dan perlu menanggung ibunya yang sakit.

Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X