Rabu, 1 Februari 2017 | 12:45pm

Tempoh reman suspek rompak Bank UOB dilanjut

PISTOL yang digunakan suspek dalam kejadian rompakan Bank UOB di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, minggu lalu. - Foto Amran Hamid
PISTOL yang digunakan suspek dalam kejadian rompakan Bank UOB di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, minggu lalu. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Tempoh tahanan reman seorang pengurus firma kawalan keselamatan yang menggunakan pistol milik majikan untuk merompak Bank UOB di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, minggu lalu dilanjutkan sehingga 7 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata reman disambung bagi membolehkan polis meneruskan siasatan membabitkan senjata api dan pecah amanah.

"Suspek berusia 50 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

"Bagi kesalahan pecah amanah, suspek disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff mendedahkan suspek yang juga pesara tentera melakukan rompakan bank secara solo sehari sebelum itu, selepas dipercayai melesapkan wang berjumlah lebih RM120,000 akibat kalah berjudi.

Berita Harian X