Rabu, 1 Februari 2017 | 10:19am

2 maut nahas lima kenderaan

DUA maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 373.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Slim River, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
DUA maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 373.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Slim River, awal pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

SLIM RIVER: Dua maut manakala empat cedera termasuk dua parah dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 373.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Slim River di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Zahid Muhammad Taib, 19, beralamat di Taman Seri Permai, Bagan Serai dan Nur Arissa Natijah Sophian, 19, dari Taman Jabi, Segamat, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira jam 3 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata siasatan awal mendapati dua remaja itu menaiki kereta Toyota Vios dipandu rakan berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya sebelum merempuh sebuah Perodua Alza di laluan sama.

"Kedua-dua mangsa dikatakan keluar dari Vios berkenaan tetapi dirempuh sebuah PROTON Waja di laluan sama yang tidak sempat mengelak.

"Rempuhan menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Vios dan Alza tidak cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Jamil berkata, pemandu dan penumpang Waja dilaporkan cedera parah.

Katanya, kejadian turut membabitkan sebuah Toyota Alphard dan Volvo selepas pemandunya gagal mengelak kemalangan.

Katanya, pemandu Waja yang parah dikenali sebagai S Dinish Kumar, 25, manakala penumpangnya yang turut cedera, belum dikenal pasti.

Pemandu dan seorang penumpang Toyota Alphard cedera ringan manakala pemandu Volvo tidak cedera.

Wan Jamil berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan.

Berita Harian X