Isnin, 30 Januari 2017 | 10:54am

Mayat pelajar politeknik lemas dijumpai

ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa mangsa lemas seorang pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSAS) Shah Alam, Selangor yang hilang ketika mandi bersama rakannya semalam selepas dijumpai lemas di Pantai Cherating pagi ini. - Foto ihsan bomba

KUANTAN: Mayat seorang pelajar politeknik di Shah Alam yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Cherating Lama di sini semalam, ditemui kira-kira jam 7.15 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dijumpai kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas.

Mangsa difahamkan datang bercuti di sini bersama enam rakannya dan pantai itu menjadi destinasi mereka untuk mandi-manda.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh, semalam berkata mangsa dipercayai lemas pada jam 2.15 petang, dipercayai akibat ditarik ombak.

Rakan mangsa yang tidak berjaya mencari mangsa membuat laporan polis dan operasi menyelamat dilakukan dengan bantuan JBPM Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung. - BERNAMA

Berita Harian X