Sabtu, 28 Januari 2017 | 9:18pm

30 individu termasuk kanak-kanak ditahan

SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu
SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 30 individu termasuk 13 kanak-kanak ditahan dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tangkapan itu membabitkan 28 individu yang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua lagi dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata operasi disertai 59 anggota serta tiga pegawai itu mensasarkan enam lokasi di sekitar bandar raya ini termasuk Inanam, Luyang dan Menggatal.

Katanya, dalam operasi bermula dari jam 1 hingga 11 pagi itu, polis melakukan pemeriksaan terhadap 59 individu termasuk berkaitan narkotik terhadap tiga lelaki.

"Daripada jumlah itu, 28 individu termasuk 13 kanak-kanak berusia empat bulan hingga 16 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua lagi ditahan berkaitan kes dadah," katanya di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, tumpuan lokasi operasi kali ini dijalankan bagi tujuan pencegahan jenayah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan yang berpotensi sebagai sarang penjenayah serta pengedaran dadah.

"Operasi juga membabitkan penandaan dan meroboh rumah setinggan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

"Selain itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga telah mengambil tindakan memutuskan sambungan haram bekalan elektrik di penempatan setinggan," katanya.

Berita Harian X