Khamis, 26 Januari 2017 | 3:18pm

Polis rampas peluru, senjata suspek rompak UOB di rumah dan pejabat

ASRI (dua dari kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Mohd Nashir Ya (dua dari kanan) menunjukkan pistol bersama senapang buatan sendiri serta peluru yang ditemui di rumah suspek kes cubaan samun sebuah bank di Taman Ria ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, hari ini. - Foto Amran Hamid
ASRI (dua dari kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Mohd Nashir Ya (dua dari kanan) menunjukkan pistol bersama senapang buatan sendiri serta peluru yang ditemui di rumah suspek kes cubaan samun sebuah bank di Taman Ria ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, hari ini. - Foto Amran Hamid

SUNGAI PETANI: Pengurus cawangan sebuah syarikat keselamatan yang terbabit dalam rompakan di sini, pagi kelmarin dikesan menyimpan komponen rifal M-16 di rumahnya di Taman Amanjaya, di sini, selain sejumlah peluru hidup.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata semua bahan itu ditemui selepas pemeriksaan lanjut dilakukan polis di rumah suspek, 50, yang juga seorang bekas tentera itu susulan insiden cubaan merompak di sebuah bank di Taman Ria Jaya, di sini.

"Selain komponen M-16 itu, kita turut menemui senapang angin buatan sendiri, lima tabung pistol angin serta beg berisi BB Bullet dan bebola besi di rumah suspek... sejumlah peluru hidup iaitu masing-masing sebutir jenis 5.56 milimeter dan 12 Bore serta sekotak peluru .38 turut ditemui dalam simpanannya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Asri berkata, polis turut melakukan pemeriksaan di pejabat suspek dan hasilnya pihaknya menemui dua buku lesen senjata api milik lelaki itu, dua telefon bimbit dan beg galas hitam serta sejumlah peluru hidup bersaiz 12 Bore dan .38.

Mengenai tindakan nekad suspek, katanya siasatan mendapati lelaki itu yang pernah bertugas sebagai Pegawai Waran I di sebuah kem tentera di Melaka, dipercayai bertindak bersendirian menggunakan senjata api jenis revolver .38 milik firma keselamatan tempatnya bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi semalam, seorang pengurus cawangan sebuah syarikat keselamatan ditahan ketika cuba merompak UOB di Taman Ria Jaya, di sini.

Suspek turut bergelut dengan dua pengawal keselamatan bertugas dengan dibantu kakitangan bank, dengan beberapa das tembakan dilepaskan yang mencederakan seorang pengawal keselamatan.

Sementara itu suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahan reman.

Berita Harian X