Khamis, 19 Januari 2017 | 2:23pm

Remaja tunggu keputusan SPM mati mengejut

KEADAAN mayat remaja 18 tahun yang ditemui mati mengejut.
KEADAAN mayat remaja 18 tahun yang ditemui mati mengejut.

TAMPIN: Seorang remaja lelaki berumur 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati di atas katil di bilik tidur rumahnya di Taman Indah, di sini, pagi ini.

Mangsa ditemui kira-kira jam 9 pagi selepas ibunya yang hendak keluar ke pekan ini, mengetuk pintu bilik anak tunggalnya beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata ibu remaja berkenaan yang berumur 45 tahun yang bimbang kerana keadaan di dalam bilik masih senyap, segera memanggil beberapa orang jiran untuk membuka pintu bilik anaknya.

Sebaik pintu berjaya dibuka, katanya, ibunya terkejut apabila mendapati anaknya terbaring kaku di atas katil sebelum segera menghubungi Hospital Tampin.

"Bagaimanapun, doktor yang datang mengesahkan bahawa anaknya telah meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

RUMAH yang didiami remaja 18 tahun yang mati mengejut.
RUMAH yang didiami remaja 18 tahun yang mati mengejut.

Hamazah berkata, kali terakhir ibu remaja berkenaan mangsa kira-kira jam 10 malam tadi, iaitu selepas anaknya balik dan terus memasuki bilik tidur selepas berjumpa rakan-rakannya di pekan ini.

Daripada siasatan awal katanya tidak terdapat kesan cedera atau pendarahan pada tubuh mangsa, manakala kawasan rumah dan bilik tidur, tidak mempunyai kesan pencerobohan atau perbuatan jenayah.

Katanya, ibu mangsa juga memberitahu bahawa anaknya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan hanya pernah menghidap asma ketika kecil, tetapi telah sembuh.

Beliau berkata, setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya akan dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

Berita Harian X