Selasa, 17 Januari 2017 | 2:21pm

Tiga suspek samun bersenjata diburu

PEKERJA kedai runcit 24 jam di Jalan Pasir Tumboh yang dikenali Ida, 39 menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan 3 lelaki bertopeng merompak kedai majikannya awal pagi tadi. Mangsa kerugian hampir RM8,000.-Foto NSTP/Zaman Huri Isa
PEKERJA kedai runcit 24 jam di Jalan Pasir Tumboh yang dikenali Ida, 39 menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan 3 lelaki bertopeng merompak kedai majikannya awal pagi tadi. Mangsa kerugian hampir RM8,000.-Foto NSTP/Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Polis Kelantan memburu tiga suspek lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Pasir Tumboh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata dalam kejadian jam 4.30 pagi tadi, mangsa bersama pekerjanya berada di kaunter kedai terbabit sebelum didatangi tiga suspek.

"Suspek bersenjatakan dua parang dan kapak masuk ke dalam kedai berkenaan untuk menyamun. Ketika itu, suasana agak sunyi serta tiada orang yang lalu lalang.

"Berlaku sedikit pergelutan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahu sebelah kiri dan jari kanan," katanya pada sidang media di Kampung Pulau Pisang, dekat sini, hari ini.

Ab Rahman memaklumkan, ketiga-tiga suspek memakai penutup muka serta sarung tangan

"Terdapat tiga kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan, namun kami akan meneliti dua daripadanya kerana satu CCTV berkenaan rosak," katanya.

Ab Rahman berkata, ketiga-tiga suspek melarikan diri selepas pekerja kedai runcit berkenaan menggunakan kayu untuk mempertahankan diri.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan.

"Kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM3,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Ab Rahman berkata, kes samun bersenjata pagi tadi adalah kejadian kedua berlaku di premis terbabit. Kali pertama adalah pada Jun tahun lalu.

Berita Harian X