Selasa, 17 Januari 2017 | 1:01pm

Duda maut minum racun

JERTIH: Seorang lelaki maut selepas dipercayai minum racun serangga di rumahnya di Kampung Kubang Depu, dekat sini, petang semalam.

Duda berusia 36 tahun itu meninggal dunia kira-kira 15 minit sejurus dibawa ke Hospital Besut di sini, pada jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata sebelum kejadian, mangsa memberitahu ibunya ingin pergi jauh sebelum menyerahkan dompet, kad pengenalan, buku jualan padi dan telefon bimbit.

"Selang beberapa minit, mangsa kembali dan memberitahu ibunya dia sudah meminum racun.

"Mangsa terus muntah dan rebah di tangga rumah ibunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa segera dibawa ke Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Berita Harian X