Isnin, 16 Januari 2017 | 3:17pm

5 cedera pacuan empat roda langgar bas

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

IPOH: Lima termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki berlanggar dengan sebuah bas persiaran dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux itu tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isteri lelaki itu yang duduk di sebelah pemandu dan tiga lagi anaknya di tempat duduk belakang mengalami kecederaan ringan di bahagian badan.

Dua pemandu bas serta enam penumpang bas yang terbabit dalam kemalangan berkenaan bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Manaf Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.53 pagi dan sebaik tiba, mendapati seorang lelaki berusia 50-an tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alatan khas sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menggunakan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Simpang Pulai.

"Semua mangsa dibawa ke HRPB menggunakan EMRS BBP Gopeng dan ambulans hospital. Operasi menyelamat tamat kira-kira jam 12.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X