Isnin, 16 Januari 2017 | 12:45pm

Cari hingga Pulau Perhentian, Redang

KUALA TERENGGANU: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Bukit Keluang, Jertih, diperluaskan hingga Pulau Perhentian dan Pulau Redang, hari ini.

Misi pasukan SAR yang memasuki hari ketiga menghadapi kesukaran berikutan hujan lebat dan angin kencang melanda sejak awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd Zailani Abdullah, berkata pihaknya terpaksa menangguhkan usaha pencarian Muhammad Izzat Haikal Alias sehingga jam 10 pagi tadi berikutan kekangan cuaca.

Sebaik operasi disambung, mereka memutuskan untuk memperluaskan radius pencarian pada jarak 30 hingga 40 kilometer (km) dari pesisir pantai.

Selain operasi di permukaan laut, katanya, pasukan penyelam diarah mengesan sekitar lokasi mangsa pertama, Nik Mohd Haikal Fitri Nik Shamsuddin, 13, ditemui pagi semalam.

"Hujan dan angin kencang menyukarkan misi pagi ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Enam remaja dilaporkan bermandi di pantai peranginan berkenaan Sabtu lalu, sebelum tiga daripada mereka terkapai-kapai pada jarak 20 meter dari pesisir pantai.

Seorang daripadanya diselamatkan pengunjung namun Izzat dan Haikal dilaporkan hilang dari pandangan kira-kira jam 3.30 petang.

Mayat Haikal ditemui pasukan SAR kira-kira jam 8.20 pagi sebelum dihantar ke Hospital Besut.

Berita Harian X