X
Ahad, 15 Januari 2017 | 5:51pm

Mat rempit 14 tahun antara ditahan

PUCHONG: Seorang remaja berusia 14 tahun antara individu ditahan dalam satu operasi membanteras samseng jalanan di Plaza Tol Puchong Barat, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat sini, pagi tadi.

Operasi bermula jam 3 pagi itu dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang bagi membanteras kegiatan samseng jalanan di kawasan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh yang mengetuai operasi, berkata intipan dilakukan sejak dua minggu lalu di lokasi sasaran sebelum operasi diadakan.

"Hasil intipan mendapati mat rempit mula berkumpul di sekitar kawasan Plaza Tol Puchong Barat menjelang jam 2 pagi hingga kira-kira jam 5 pagi dengan jumlah mereka mencecah hampir 200 orang.

"Mereka juga menggunakan lebuh raya itu sebagai medan untuk beraksi hingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna lebuh raya lain," katanya.

Dalam operasi itu, katanya seramai 66 individu diperiksa dan polis mengeluarkan 56 saman atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, 38 buah motosikal turut disita dan dibawa ke IPD Subang untuk tindakan lanjut.

"Operasi kali ini membabitkan 10 pegawai dan 53 anggota daripada JSPT Bukit Aman, IPD Subang Jaya serta dibantu syarikat konsesi yang mengendalikan LDP, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) ," katanya.

Berita Harian X