Sabtu, 14 Januari 2017 | 11:20am

Lelaki terjun sungai elak polis ditemui lemas

ANGGOTA Bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui tidak jauh dari lokasi dia terjun ke sungai bagi mengelak ditahan polis petang semalam. - Foto Mohammad Ishak
ANGGOTA Bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui tidak jauh dari lokasi dia terjun ke sungai bagi mengelak ditahan polis petang semalam. - Foto Mohammad Ishak

JERTIH: Lelaki dipercayai pengedar dadah yang terjun ke sungai di Kampung Bekok, Hulu Besut, di sini, bagi mengelak ditahan polis petang semalam, ditemui lemas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mayat lelaki berusia 28 tahun dari Kampung Apal, dekat sini itu, ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan penduduk kampung jam 9.50 malam tadi.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjun ke dalam sungai itu.

"Gerakan mencari dan menyelamat lelaki itu oleh pihak Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam ditutup jam 7 malam, namun operasi diteruskan jam 9.30 malam selepas penduduk mendakwa terlihat objek dipercayai mayat lelaki itu.

"Mayat lelaki itu kemudian ditemui tidak jauh dari tempat dia dipercayai lemas lalu dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.

Mayat lelaki berkenaan kemudian dituntut ahli keluarganya jam pada 1.45 pagi tadi untuk dikebumikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, lelaki itu yang menjadi buruan polis kerana kes dadah, bertindak nekad keluar dari kereta Perodua Alza dipandunya sebelum terjun ke Sungai Besut di Kampung Bekok, bagi mengelak ditahan polis.

Sebelum itu, dia cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan dipandunya sejauh kira-kira 500 meter selepas terserempak dengan kereta peronda polis di kampung berkenaan.

Bagaimanapun kereta dipandunya terbabas ke kanan jalan menyebabkan polis menghampiri kenderaannya, namun dia sempat melarikan diri sebelum terjun ke sungai berkenaan untuk mengelak ditahan.

Berita Harian X