Selasa, 10 Januari 2017 | 7:12pm

Wanita abai kanak-kanak didakwa esok

 HAMAZAH Ab Razak.- Foto Iqmal Haqim Rosman
HAMAZAH Ab Razak.- Foto Iqmal Haqim Rosman

TAMPIN: Wanita berusia 36 tahun yang ditahan kerana dipercayai mengabaikan kanak-kanak berusia tiga tahun di Gemencheh dekat sini, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, dekat sini, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata wanita itu akan dituduh mengikut Seksyen 33(c) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan suspek akan didakwa pagi esok," katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam Khamis lalu, kanak-kanak itu diselamatkan selepas penduduk kampung terdengar tangisannya sebelum dia ditemui dalam keadaan bogel dan terbaring kelaparan di dalam bilik gelap di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh di Gemencheh.

Suspek yang ditahan berhubung kejadian itu kemudian mengaku sebagai ibunya sebelum mendedahkan dia hanya mengambil upah menjaga kanak-kanak itu dengan bayaran RM600 sebulan.

Pemeriksaan perubatan tidak menemui sebarang kesan penderaan pada tubuh kanak-kanak berkenaan.

Polis juga sudah mengambil keterangan seorang wanita berusia 37 tahun yang mendakwa ibu kanak-kanak itu dan akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam masa terdekat.

Berita Harian X