Isnin, 9 Januari 2017 | 9:04pm

Enam lelaki samun wanita

GOMBAK: Enam lelaki bersenjatakan parang menyamun seorang wanita dalam kejadian di Taman Sri Gombak di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 itu, mangsa seorang suri rumah berusia 37 tahun sedang menyiram pokok di halaman rumahnya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata tiga lelaki membawa sebilah parang panjang dikatakan memanjat pagar rumah mangsa manakala tiga lagi menunggu di luar pagar.

Katanya, seorang daripada mereka mengacukan parang ke arah mangsa sebelum meragut rantai leher dan rantai tangannya.

"Suspek memasuki rumah mangsa dan menyelongkar sebelum mengambil barangan berharga lalu melarikan diri dengan menunggang tiga motosikal.

"Penyamun melarikan tiga utas rantai leher, dua rantai tangan, kad pengenalan mangsa, lesen memandu, sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note 2 dan wang tunai RM50," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ali berkata, usaha mengesan suspek giat dilakukan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Berita Harian X