Ahad, 8 Januari 2017 | 3:50pm

Geng samun tumpas

gn4id:18268422

MERSING: Tiga lelaki warga Indonesia yang aktif melakukan samun dan pecah rumah di sekitar daerah ini dan Pahang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi di Felcra Sungai Ambat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edword Nuing, berkata suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas melakukan samun di sebuah rumah kongsi di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam kejadian pada kira-kira jam 4 pagi Khamis lalu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa dengan mengikat suami isteri dan anak mereka yang sedang tidur.

"Bimbangkan keselamatan mereka kerana diacukan parang, semua mangsa yang diikat pada dan tangan tidak dapat berbuat apa-apa sebelum tiga perompak bertopeng itu menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan wang berjumlah RM800, barangan kemas dan tiga telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM3,000.

"Mangsa dapat melepaskan diri dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Ambat di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bertindak atas maklumat orang ramai dan intipan, polis mengesan ketiga-tiga suspek di sebuah rumah kongsi berhampiran rumah mangsa dan menahan mereka pada jam 2.30 pagi, Jumaat lalu.

Kesemua mereka direman sehingga 18 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Berita Harian X