Sabtu, 7 Januari 2017 | 6:44pm

Tiga suspek samun diberkas

GAMBAR rakaman CCTV tiga suspek menyamun kedai 24 jam di Kota Damansara. - Foto Ihsan PDRM
GAMBAR rakaman CCTV tiga suspek menyamun kedai 24 jam di Kota Damansara. - Foto Ihsan PDRM

PETALING JAYA: Tiga lelaki termasuk dua remaja berusia 14 dan 18 tahun ditahan, selepas dipercayai terbabit dalam kes samun kedai 24 jam di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sepasukan anggota yang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Teknologi 3/1 Kota Damansara, menahan dua lelaki selepas menemui mereka dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2.15 pagi.

Beliau berkata, berlaku pergelutan apabila suspek cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan.

"Pemeriksaan ke atas dua suspek berusia 18 dan 40 tahun menemui dua bilah pisau, tiga telefon bimbit, enam kotak rokok, sembilan kad Touch 'n Go, 29 kad prabayar telefon serta wang tunai RM360.

"Semakan mendapati mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes pemerasan dan pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek turut mengaku terbabit dalam tiga kes samun kedai serbaneka 24 jam bersama seorang rakan, selain menyamun seorang warga asing serta memecahkan cermin kereta dan mencuri barang dalam kenderaan itu di Jalan Teknologi 3, Kota Damansara.

"Susulan maklumat itu, polis menahan seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Seksyen 6, Kota Damansara pada jam 3.15 pagi," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjata.

Berita Harian X