Khamis, 29 Disember 2016 | 12:24am

Kakitangan awam edar ketum ditahan

Air ketum dalam bungkusan plastik yang dirampas di sebuah rumah di Tampin. 2. Daun kering yang dipercayai daun ketum yang polis rampas di Tampin.
Air ketum dalam bungkusan plastik yang dirampas di sebuah rumah di Tampin. 2. Daun kering yang dipercayai daun ketum yang polis rampas di Tampin.

TAMPIN: Polis menahan seorang pembantu am sebuah jabatan kerajaan yang dipercayai terbabit dalam pengedaran air ketum, malam ini.

Lelaki berusia 33 tahun yang berasal dari Johol, Kuala Pilah, ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Tampin Tengah di sini, kira-kira jam 7 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata penahanan lelaki terbabit oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dibuat ketika Ops Tapis.

Katanya, anggota polis yang memeriksa tubuhnya tidak menemui apa-apa bahan yang menyalahi undang-undang, tetapi pemeriksaan dalam rumah itu menemui 10 bungkus plastik yang dipercayai mengandungi air ketum seberat lima liter dan satu karung guni mengandungi daun kering yang dipercayai daun ketum seberat kira-kira 1.57 kilogram yang disimpan dalam sebuah peti sejuk.

"Ujian air kencing lelaki itu negatif. Dia dipercayai mengedar air ketum di daerah ini dan Kuala Pilah sejak tiga bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman esok untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X