Ahad, 25 Disember 2016 | 9:46pm

Anak tak sangka mimpi ibu meninggal jadi kenyataan

JENAZAH empat beranak yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.8, Jalan Tampin Gemas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjal Kemaman. - Foto Rosli Ilham
JENAZAH empat beranak yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.8, Jalan Tampin Gemas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjal Kemaman. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin Gemas, Negeri Sembilan, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Kemaman, malam ini.

Jenazah Nazipah Chik, 60, serta anaknya, Mohd Fadzil Jusoh, 37, serta dua anak kembar Fadzil, Nur Farhana dan Muhammad Farhan, setahun, selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 9 malam ini.

Jenazah Mohd Fadzil diletakkan bersama jenazah Muhammad Farhan dalam satu keranda, manakala jenazah Nazipah diletakkan dalam satu keranda bersama cucunya, Nur Farhana.

Sebelum itu, jenazah kedua-dua mangsa dibawa dari Hospital Tampin dengan dua kereta jenazah dan tiba di Masjid Kampung Binjai, Kemaman, kira-kira jam 6.45 petang.

Dalam kemalangan itu kira-kira jam 3.30 petang, semua mangsa yang berasal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman yang menaiki sebuah kereta maut.

Isteri Mohd Fadzil, Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33; serta seorang lagi anak kembarnya, Muhammad Farhimi, setahun, dan adik perempuannya, Nursyuhaidah, 23, cedera parah dalam kejadian itu.

AZLINA Mohd Nor, 38, memangku dua pupunya, Muhammad Fahimi satu tahun yang juga kembar yang selamat dalam kemalangan ini. - Foto Rosli Ilham
AZLINA Mohd Nor, 38, memangku dua pupunya, Muhammad Fahimi satu tahun yang juga kembar yang selamat dalam kemalangan ini. - Foto Rosli Ilham

Sementara itu, anak Nazipah, Mohd Syukri Jusoh, 33, langsung tidak menyangka mimpi ibunya meninggal menjadi kenyataan apabila wanita itu maut dalam kemalangan itu.

"Saya bermimpi ibu meninggal sehari sebelum kejadian dan tidak sangka semalam ibu benar-benar meninggalkan kami," katanya.

Mohd Syukri yang bekerja sebagai posmen di Pos Malaysia Kemaman berkata, dia bermimpi menangis di sisi jenazah ibunya yang sudah siap dikafan.

"Sebaik terkejut dari tidur saya menceritakan mimpi itu kepada isteri, Ina Yuni, 27, namun isteri menganggap itu hanya mainan tidur," katanya.

Katanya, arwah abangnya adalah seorang pengusaha kedai makan di bandar Chukai dan waktu malam dia menumpang menjual burger di kedai abangnya itu.

"Saya dan isteri sepatutnya turut serta bersama abang dan ibu menghadiri majlis perkahwinan seorang anak angkat ibu di Muar, Johor.

"Saya sudah membuat permohonan cuti dengan majikan selama empat hari.

"Pada Khamis saya rasa tidak sedap hati dan saya menarik balik permohonan cuti dan keadaan itu menyebabkan ibu datang ke rumah dan memujuk saya untuk turut serta, namun saya tetap membuat keputusan tidak mahu pergi," katanya.

Syukri berkata, arwah ibunya juga ada meminta kebenaran membawa anak lelakinya berusia enam tahun bersama, namun dia keberatan dan tidak mengizinkan anaknya itu turut serta.

Berita Harian X