Ahad, 25 Disember 2016 | 4:02pm

Keluarga reda kehilangan empat ahli keluarga sekali gus

TAMPIN: "Kami reda dengan pemergian empat sekeluarga sekali gus dalam kemalangan semalam," kata Junaidah Yusof, 41, ahli keluarga mangsa kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 3 petang semalam mengorbankan ibunya, Nazipah Chik, 60; adik lelaki, Mohd Fadzil, 37; dan dua daripada tiga anak kembar, Mohd Fadzil, Nur Farhana serta Muhammad Farhan berusia setahun.

Seorang lagi kembar, Muhammad Farhimi dan isteri Mohd Fadzil, Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33; serta adik perempuannya, Nursyuhaidah, 23, cedera parah dalam kejadian itu.

Junaidah berkata, pagi semalam ibunya dan Nursyuhaidah menaiki kereta PROTON Saga bersama keluarga Mohd Fadzil dan mereka berkonvoi dari rumah di Binjai, Kemaman, Terengganu, untuk menghadiri kenduri di Muar, Johor, kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, dia sekeluarga tiba terlebih dahulu di Muar, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan daripada Nursyuhaidah memberitahu mereka terbabit kemalangan.

"Saya segera ke lokasi kejadian tetapi semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Tampin. Sebaik tiba hospital, saya dimaklumkan ibu dan adik meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak kembar Mohd Fadzil, meninggal dunia di hospital.

"Pagi semalam kami semua gembira sepanjang perjalanan, tetapi semuanya berubah dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui di Hospital Tampin di sini, hari ini.

Junaidah berkata, Wan Suhana dan Nursyuhaidah yang patah di beberapa bahagian badan, dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan lanjut manakala Muhammad Farhimi, sudah dibenarkan keluar wad.

Katanya, semua jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Batu 4 Dalam, Binjai, Kemaman, untuk dikebumikan.

Dalam kejadian petang semalam, kereta dipandu Mohd Fadzil dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Persona.

Pemandu kereta itu, Abdullah Lebai Abas, 62, yang cedera parah di kepala dan badan, masih menerima rawatan di hospital.

Berita Harian X