TUMPAT: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di Jalan Hulu Stesen, Wakaf Bharu, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa, Nik Mohammad Aziman Zaim Nik Rosmadi, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, selain patah tengkuk.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip, berkata ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal sendirian hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.
Katanya, akibat pertembungan itu, mangsa tercampak dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah termasuk patah tengkuk.
"Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan gagal mengelak motosikal ditunggang mangsa kerana jarak yang terlalu dekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.