Sabtu, 17 Disember 2016 | 7:07pm

Zunar, 4 individu lain ditahan

KARTUNIS Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar.
KARTUNIS Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar.

KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar ditahan sepasukan pegawai dan anggota Polis Daerah Dang Wangi, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Jalan Maharajalela, di sini, petang tadi.

Zunar dan dua lagi individu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, selepas dipercayai terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Dua lagi individu ditahan kerana dipercayai cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan lima individu terbabit.

"Setakat ini kita masih menjalankan siasatan dan merekodkan kenyataan dari semua individu yang ditahan dan akan mengeluarkan butiran dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Katanya, Zunar dan dua lagi individu ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen 41C Akta Hasutan.

Sebelum ini, Zunar ditahan atas kesalahan sama kerana mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, di Komtar, Pulau Pinang, bulan lalu.

Berita Harian X