Khamis, 8 Disember 2016 | 9:15pm

Peluncur udara dinaiki 2 warga Syria tersangkut

PASANGAN pelancong dari Syria masing-masing berusia 30 tahun yang tersangkut pada puncak silo tangki simen di Pantai Tengah, Langkawi diselamatkan anggota bomba, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
PASANGAN pelancong dari Syria masing-masing berusia 30 tahun yang tersangkut pada puncak silo tangki simen di Pantai Tengah, Langkawi diselamatkan anggota bomba, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

LANGKAWI: Pasangan warga Syria berhadapan detik cemas apabila peluncur udara (parasailing) yang mereka naiki tersangkut kira-kira satu setengah jam pada puncak silo tangki simen setinggi 20 meter di Pantai Tengah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 30 tahun, bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum menghantar 11 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 5.34 petang dan mendapati dua mangsa itu tersangkut pada puncak silo tangki simen setinggi 20 meter.

"Seterusnya anggota melakukan tindakan penstabilan dan berjaya membawa kedua-dua mangsa turun menggunakan jentera Turn Table Ladder (TTL)," katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Fadzlullah berkata, kedua-dua mangsa adalah pelancong warga Syria yang bercuti di pulau ini.

"Anggota EMRS turut memberi rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang kelihatan trauma akibat kejadian itu," katanya.

Berita Harian X