Rabu, 7 Disember 2016 | 11:36am

Pengasuh didakwa dera bayi

SEORANG pengasuh, Nor Aini Man dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini, atas tuduhan mendera bayi berusia 11 bulan di Pantai Remis, bulan lalu. - Foto L Manimaran
SEORANG pengasuh, Nor Aini Man dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini, atas tuduhan mendera bayi berusia 11 bulan di Pantai Remis, bulan lalu. - Foto L Manimaran

IPOH: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendera bayi berusia 11 bulan di Pantai Remis, bulan lalu.   

Tertuduh, Nor Aini Man, 48, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indera Nehru.   

Nor Aini didakwa dengan sengaja mengabaikan hingga menyebabkan Hani Maisarah Muhamad Hakimi mengalami kecederaan fizikal di bahagian belakang kepala sebelah kiri antara jam 9 pagi hingga 6.30 petang, 26 November lalu.   

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.   

Indera Nehru membenarkan jaminan  RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 21 Disember ini untuk kes disebut semula.   

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X