Ahad, 4 Disember 2016 | 7:02pm
MOHAMAD Najib Mohd Rasid.
MOHAMAD Najib Mohd Rasid.

Kakitangan hotel maut dirempuh 4WD

SEORANG kakitangan hotel maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan Kilometer 5 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi di Kota Tinggi pagi tadi. - Foto Ihsan Polis
SEORANG kakitangan hotel maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan Kilometer 5 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi di Kota Tinggi pagi tadi. - Foto Ihsan Polis

KOTA TINGGI: Seorang kakitangan hotel maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan Kilometer 5 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, Mohamad Najib Mohd Rasid, 22, yang juga anak kepada seorang anggota Balai Polis Sungai Rengit, meninggal dunia di klinik kesihatan berhampiran akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar dilanggar sebuah Mitsubishi Triton dari arah bertentangan yang membelok ke kanan memasuki persimpangan.

"Mangsa meninggal dunia di Klinik Kesihatan Teluk Ramunia disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan, manakala pemandu wanita berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda terbabit mengalami kerosakan bahagian hadapan, manakala motosikal yang ditunggang mangsa remuk keseluruhan badan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, tiada saksi bebas di lokasi kejadian dan permukaan jalan kering serta cuaca baik, selain kawasan persekitaran adalah kawasan pembinaan.

Berita Harian X