Sabtu, 3 Disember 2016 | 8:26pm
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Perlis
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Perlis

Pegawai farmasi maut kereta bertembung lori

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Perlis
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Perlis

KANGAR: Seorang pegawai farmasi meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa, Nurul Wahidah Maulat Othman, 26, memandu Perodua Kancil dari arah Kangar ke Simpang Empat ketika kejadian berlaku pada jam 2.30 petang.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan iaitu dari arah Alor Setar ke Kangar.

"Kenderaan mangsa remuk dan sebahagiannya berada di bawah lori," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Zaharul Amin Ahmad, berkata pihaknya dengan kekuatan enam jentera dan 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 2.33 petang.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, seorang wanita dilihat tersepit di dalam kereta yang remuk di bahagian depan dan memerlukan peralatan hidrolik untuk mengeluarkan mangsa.

"Kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini untuk bedah siasat, manakala pemandu dan kelindan lori hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Berita Harian X